Showing posts with label spm. Show all posts
Showing posts with label spm. Show all posts

Wednesday, April 17, 2013

SPM #7

Sampai sudah stage pengakhiran. Tidak akhir mana, tetapi suatu hari nanti, kebanyakan daripada kita, jikalau tidak semua akan sampai pada fasa kemuncak ini.

Kerja, kerja dan kerja.

Bila anda sudah bekerja, situasinya sangat berbeza. Kita mungkin boleh membayangkan itu dan ini tentang kerjaya, tetapi realiti yang dihadapi oleh saya kini tidaklah seperti apa yang saya sangka. Ia seratus lapan puluh darjah berbeza. Antara perkara yang anda akan jumpa ialah, beliau seorang pelajar kejuruteraan. Kini seorang manager bank. Beliau seorang pelajar lawyer, kini seorang guru. Beliau tidak pernah menjejakkan kaki di universiti, kini seorang jutawan.

Pusing belitnya susah diterima pakai. Terkadang kita bingung, namun rezeki kita di tangan tuhan. Saya seorang pelajar kejuruteraan awam. Kini dalam proses latihan sebagai bakal jurutera. Perkara pertama yang saya sedar, saya belajar lain, saya lihat lain. Ada beberapa pengecualian apabila anda mula bekerja. Ada yang berkaitan dengan anda belajar, ada yang tidak ada kena mengena langsung, dan ada juga yang sepatutnya diaplikasikan ilmu yang anda timba didalam kelas (aircond mahupun tidak) tetapi diabaikan begitu sahaja.

Dan ketiga-tiga perkara ini, ada di tempat saya bekerja sekarang. Dan saat itu, tidak lah saya ingin katakan semua nya begitu, tetapi anda lebih banyak belajar berkomunikasi dengan orang lain daripada belajar lebih dalam tentang subjek pilihan anda di universiti atau kolej. Berhadapan dengan manusia yang penuh emosi, jujur saya katakan, ianya meletihkan. Sehingga satu saat, saya sudah lali dengan kerenah mereka, saya mula fokus untuk cuba menyukai apa yang saya lakukan. Saya jadikan ia tanggungjawab saya, dan bukan perkara main-main. Walaupun saat ini, saya masih lagi seorang pelajar practical.

Tidak kira setinggi mana SPM anda, secemerlang mana keputusan degree anda, anda tetap orang bawahan apabila anda mula bekerja. Konsep senior-junior masih lagi diamalkan. Hierarchy tempat kerja akan tetap menjadi keutamaan. Segulung ijazah bermakna buat anda, tapi tidak buat mereka. Bagi mereka, anda orang baru, anda perlu hormat dan ikut telunjuk orang lama. Tidak lah saya katakan kita tidak perlu hormat orang lain, terkadang orang yang terlampau mementingkan kasta akan menimbulkan pelbagai rasa tidak sedap hati, lagi-lagi hubungan sesama manusia.

Ada yang rajin bekerja tetapi gajinya biasa-biasa sahaja. Ada yang goyang kaki sahaja, tapi tebal poketnya. Ada yang mulut bergerak, tangannya tidak. Dan begitulah sebaliknya. Orangnya berpesen-pesen. Saya lebih banyak belajar erti kemanusiaan. Bagaimana mahu selesaikan persengketaan. Bagaimana mahu menolong orang dalam kesusahan. Dan bagaimana mahu bersabar. Saya mula mempersoalkan, faham mereka dimana?

Saya bekerja di sebuah construction site. Walaupun saya hanya seorang intern, tetapi saya ada kuasa untuk mengarah pekerja yang kebanyakkannya orang bangladesh, indonesia dan pakistan. Saya dan mereka sama sahaja disisi tuhan. Tetapi dalam hierarchy pekerjaan, saya lah boss, dia lah pekerja. Pekerja binaan, anda faham-faham sahajalah. Kerjanya bukan mudah. Dari pagi ke petang, mengetuk paku, membancuh simen, mengangkat besi dan sebagainya. Saya boss, saya berjalan kesana kesini memastikan kerja terus berjalan. Sungguh, saya penat setiap hari. Tetapi dibandingkan dengan mereka yang gajinya tidak seberapa, rasa kesian itu pasti ada.

Saya berkenalan dengan mereka, berborak tentang kampung halaman, sesekali bergelak ketawa. Saya duduk minum bersama orang bangla, melepak bersama orang indonesia dan bergurau dengan orang pakistan. Pada orang lain, mungkin saya ini serupa mereka, tetapi setelah mendengar kisah mereka, simpati saya kepada kebanyakkannya. Ada yang tinggalkan keluarga anak bini demi mencari rezeki, sehingga tidak pulang ke kampung selama 8 tahun pun ada. Pedoman berkenalan dengan mereka, saya rasa itu yang paling berharga. Namun pada mata sesetengah daripada kita, pedulikan itu semua. Sijil diterima itu yang terpenting, itu yang membezakan di antara 'boss' dan 'pekerja'.

Ada beberapa insan yang berperangai seperti ini. Oleh kerana mereka bertaraf 'tinggi' yang perlu dihormati, caci maki menjadi perkara biasa. Hormatnya entah kemana. Tua atau muda, dicicirkan saja. Pangkat itu yang utama. Mungkin disisi manusia, itu menjadi tumpuan mata-mata. Disisi tuhan? Ditempat saya bekerja, ada yang semuda 20 tahun, sehingga setua 50 ke 60 tahun. Tenaga dikerah kerana susah. Kita yang senang, terus bergelumang?

4 fasa saya alami. Dan setiap fasa, ada dongengnya sendiri. Setiap dongeng, ada pengajaran yang berbeza-beza. Saya tahu saya perlu lebih banyak berusaha. Saya berjemaah bersama pekerja saya. Kadang kala mereka yang mengimamkan. Baju yang dipenuhi peluh, ditukar. Kain pelikat bersih disarungkan. Apa semua erti pencapaian dunia, jika tujuan utama kita endahkan?

Saya belajar jadi orang bawahan. Disuruh itu ini, dimarah sana sini. Saya belajar jadi boss. Toleransi, bertimbang rasa dan juga belajar menyelesaikan masalah secara professional. Saya tidak terikat untuk melakukan kerja-kerja berat, tapi kadang-kadang saya ingin rasa sendiri. Berdiri di tempat mereka, memegang tukul, mengangkat kayu, agar saya tahu bagaimana perasaan mereka, untuk saya jadi lebih manusia daripada manusia.

Apa yang saya ada saya tolak tepi. Saya dan mereka sama sahaja. Cuma yang membezakan kami mungkin, siapa yang sedar dan siapa yang hanyut, hilang berpaut. Beruntunglah orang yang sabar. Pada awal bekerja, saya sering merungut. Keluar bergelap, pulang pun bergelap. Letihnya tak terkata. Sekali sekala, saya terlelap seawal pukul 9 malam, makan malam entah kemana, dan pagi esoknya kebulur serupa tiga hari tak makan. Perjalanan pulang ke rumah menguji tahap kesabaran saya. Satu jam setengah di atas jalan raya, kadang-kadang sehingga 2 jam. Asar terkejar-kejar, maghrib pun sama. Pemandu-pemandu Malaysia yang memandu seperti lembu gila, seperti kura-kura, accident dari masa ke masa, dan juga kereta rosak di tengah jalan. Semuanya menstresskan. Sudahlah stress di tempat kerja, tamat waktu kerja pun serupa. Demikian, sabar itu berlian. Nilai nya tiada.

Ini semua berdasarkan apa yang saya lalui. Pengalaman saya di sini, dan di luar negara. Tidak semua rasa apa yang saya rasa. Begitu juga sebaliknya. Jadi ada yang mungkin tidak setuju dengan apa yang saya katakan, saya juga faham. Kita dari latar belakang yang berbeza dan itu semua mempengaruhi cara minda kita berfikir dan menerima sesuatu. Tapi ingin saya jelaskan, saya cuma ingin berkongsi. Penerimaan dan penolakan itu semua terpulang.

Saya simpulkan, setiap apa yang kita lalui, ada disebalik nya tersorok satu pedoman. Buruk atau baik, tetap kita ambil. Ia mengajar kita menjadi manusia yang manusia. Pencapaian dunia itu tetap menjadi keutamaan, tapi tidak bermakna dunia itu segala-galanya. Gagalnya kita, tak bermakna tak boleh berjaya.

Ada banyak lagi perkara besar yang belum kita ketemu, sekiranya kita putus di tengah jalan, bukan kan itu sia-sia? SPM bukan segala-galanya. Degree, Master, PhD juga bukan segala-galanya. Segala-segalanya itu di akhir nanti. Bukan yang semasa. Henti nafas didada, terhenti jugalah perjalanan kita. Tersungkur di tengah, bangkitlah, ia masih belum parah.

Jalan dan langkah, toleh ke semua arah, biar sakit dan berdarah, asal tak lupa untuk terus gagah.

Out of cold, happiness is not something that we could find. We make one.

Tamat.

Untuk tatapan semua.

>

Disclaimer: Ada banyak perkara yang tidak saya ceritakan dalam siri SPM ini. Mungkin bagi saya ia perkara peribadi. Mungkin juga saya terlupa untuk menyelitkan cerita-cerita selanjutnya. Mungkin ada yang menjadi tanda tanya. Biarkan saja, biar ia menjadi suspens dunia. Ada yang jelas jawapannya, ada yang tidak. Terokai kehidupan, temukan jawapan. Dengan itu, saya pohon kemaafan, atas segala ketidakserasian pemikiran, dan juga kelewatan. Moga siri SPM membuka lensa, dijadikan sedikit pengisian perjalanan. Moga dipermudahkan. Untuk saya, anda dan semua. 





Sunday, April 7, 2013

SPM #6

Pernahkan anda melihat orang lain dan anda termotivasi untuk melakukan perkara yang sama. Saya pasti ramai yang pernah. Saya juga begitu.

Roommate saya dahulu ketika di sekolah sangatlah tidak menggemari subjek fizik dan kimia. Dia akan jadi excited jika bercerita tentang subjek sejarah dan biologi. Mungkin kerana dia lebih suka membaca. Manakala saya pula sebaliknya. Membaca ialah suatu perkara yang sangatlah tidak disukai. Lagi-lagi membaca nota atau buku teks. Ia merangsang otak untuk tidak berfungsi, lalu saya tidur.

Tahun 2008 ialah tahun saya mengambil SPM. Tahun itu juga ramai rakan-rakan menjadi insaf dan mula berusaha untuk melakukan yang terbaik. Ini termasuklah roommate saya. Dia sesekali meminta pada saya,

"Weh, petang ni ajar aku fizik ea", "Weh, tolong aku study kimia".

Saya tidak menolak. Hari sabtu dan ahad merupakan hari cuti kami, hanya pagi sabtu terdapat kelas tambahan dan malam ahad jadual nya ialah prep malam. Jadi selebihnya merupakan masa terluang dan rehat. Petang ahad dan sabtu menjadi kelaziman untuk kami berdua menelaah subjek fizik dan kimia. Saya akan duduk di atas katil, membaca komik, makan mahupun menelaah sekali. Sekiranya ada soalan yang tidak faham, dia akan bertanya. Sepanjang tahun kami begitu.

Saya seorang yang malas. Malas yang sangat malas. Ada kelapangan saya tidur. Tiada kelapangan pun saya tidur. Jadi saya amat kurang membaca. Tapi oleh kerana roommate saya ini sedikit hyperactive dan excited bila saya mengaju soalan biologi atau sejarah, dia akan mula bercerita dan menerangkan segala-galanya. Begitu lah saya belajar sejarah dan biologi. Melalui soal jawab bersama dia.

Tapi itu bukan lah titik yang utama. Ia berkenaan usaha. Roommate saya memerlukan masa yang agak lama untuk memahami satu konsep fizik. Lampu asrama ditutup pada pukul 11 malam setiap hari. Dikenali juga sebagai 'lights off'. Bilik study juga hanya dibenarkan sehingga jam 1 pagi. Ketika itu saya termotivasi dan juga berasa agak malu dengan roommate saya.

Selepas light off, hanya lampu koridor saja yang menyala. Selepas lights off, roommate saya akan menarik meja dan belajar di bawah lampu koridor. Hampir setiap malam. Kebanyakan daripada kami lebih suka melepak, mendengar lagu, menelaah sekali sekala dan kadang-kala lebih kepada bergosip. Saya melihat dia berkelakuan begitu setiap hari, malah sehingga jam 3 4 pagi. Dan terbit rasa insaf, kenapa dia sanggup berkorban masa dan tenaga untuk belajar? Kenapa tidak saya? Dia merupakan salah seorang rakan saya yang mampu membuatkan saya study tanpa perlu disuruh.

Ia menjadi pedoman untuk anda melihat orang yang begitu tekad untuk berjaya. Walaupun saya kata SPM bukanlah segala-galanya, berkat usaha roommate saya itu dia berjaya mendapat straight A. Dia pun seperti saya. Sering merungut. Tapi dia berbeza daripada saya. Mulut melenting, keringat dibanting. Muka merungut, tangan meragut. Seorang yang kuat berusaha, biar lah mulut meluahkan apa yang dirasa, namun dia tetap melakukan semuanya. Seorang yang sepatutnya belajar di luar negara namun atas sebab tertentu, menyambung pelajaran di negara tercinta. Diperingkat asasi memperolehi keputusan empat rata, dan kini sedang mengejar cita-cita sebagai seorang doktor. Saya doakan, mudah-mudahan menjadi doktor yang berjaya.

Ramai orang disekeliling kita begitu. Semakin kita kenal mereka, semakin kita tahu cerita mereka. Dan cerita-cerita ini sangat unik. Dan tidak semua perkara yang mereka rasa kita pernah alami. Jadi ia menjadi satu subjek renungan buat kita.

Seorang rakan saya juga lebih kurang sama ceritanya. Kehilangan ibu tersayang ketika di tingkatan tiga. Juga kehilangan ayah tercinta di tingkatan lima. Tahun kritikal kerana ketika itu kami perlu menghadapi peperiksaan besar, PMR dan SPM.

Tapi selepas tamat sekolah, dia merupakan orang yang berjaya lebih awal daripada kami. Mendapat tawaran biasiswa MAS (Malaysian Airlines), dan kini sudahpun bekerja. Sedangkan ketika ini, masih ramai dalam kalangan kami yang belum habis belajar, masih meneruskan usaha untuk mencapai segulung ijazah. Haluan atau jalan kehidupan semua orang tidak sama.

Ia atas diri kita sendiri. Ia pilihan, bukan paksaan.

Selangkah anda menapak sebagai orang berkerjaya, cabaran yang dihadapi juga berbeza. Daripada fasa memikirkan masa depan, ia bertukar menjadi tanggungjawab. Bahu anda dibebani pelbagai perkara. Anda mula memikirkan tentang kerjaya, tentang perkahwinan, dan juga keluarga.

Pabila saat itu tiba, sekali lagi sumber kekuatan perlu dicari.

Anda bukan lagi berdepan dengan buku dan pensel, kebanyakan kerjaya anda perlu berdepan dengan manusia. Yang ragamnya berbeza. Ada yang menyenangkan, ada juga yang membuatkan darah anda mendidih. Ada yang membantu, ada yang menikam dari belakang.

Kepenatan juga tidak terkata. Terkadang, keluar rumah bergelap, balik rumah juga bergelap. Meredah kesesakan lalu lintas, dimarahi oleh ketua, dan juga kertas kerja yang menimbun. Dalam keadaan itu, sabar menjadi sumber untuk terus bertahan.

Dinihari, dimana hendaknya sabar itu dicari?

bersambung...

Thursday, April 4, 2013

SPM #5

Negara daun maple, Canada. Saya menjejakkan di Lapangan Terbang Pearson kira-kira 8.30 malam waktu tempatan, 2 September 2010. Saya hembus nafas lega. Selangkah saya keluar dari lapangan terbang, saya disapa angin sejuk Toronto.

Terkinja-kinja. Excited terlebih. Saat itu, tidak terlintas langsung dalam fikiran saya apa yang bakal saya lalui. Toronto, sebuah bandar metropolitan yang boleh saya katakan aman. CN Tower megah berdiri berhadapan Tasik Ontario sering mengingatkan saya kepada Malaysia. Rupanya seakan-akan KL Tower.

Zaman universiti merupakan zaman peralihan dan perubahan yang sebenar. Walaupun masih lagi dalam kategori pelajar, fasa ini fasa realiti. Apa yang anda lakukan berbalik kepada diri anda sendiri, bahkan orang disekeliling anda. Lagi-lagi apabila anda berada di sebuah negara yang berbatu jauhnya dari kampung halaman.

Di sini, saya belajar mengenali bermacam-macam jenis orang. Dari mata sepet ke mata bulat, kulit putih ke kulit nya gelap. Tinggi dan rendah. Canada hampir sama dengan Malaysia. Budaya nya bermacam-macam. Saya sering memerhati dari jauh gelagat orang, budaya setempat dan juga kawasan sekeliling. Jika ditanya manakah yang saya lagi suka, saya akui sedikit dalam hati saya, Toronto ialah sebuah bandar yang jauh lebih indah.

Disebalik pemerhatian saya itu, ada satu kesilapan yang saya lakukan. Saya tidak mengambil ibrah. Akhirnya, saya mengerti dengan cara yang tidak saya ingini. Perasaan itu seperti pahitnya kopi tanpa gula. Lesson learned, itu semua cara kehidupan mengajar kita.

Saya ada seorang senior di sana yang saya kagumi dalam diam. Seorang yang pendiam dan tidak berapa bergaul dengan orang ramai, tapi dia merupakan salah seorang pelajar terbaik di sana. Bukan sahaja dalam kalangan kami, pelajar Malaysia malah juga berjaya dalam kalangan orang-orang luar. Hampir setiap semester memperoleh 'dean list'. Juga seorang yang serius apabila melakukan sesuatu perkara, dan juga tekun untuk memperbaiki kelemahan diri.

Pandangan luaran biasa-biasa sahaja. Bertubuh kecil dan berkaca mata. Antara pengalaman nya yang sempat kami kongsi bersama, dia tidak pernah mendapat keputusan straight A. Baik UPSR (Ujian Penilaian Sekolah Rendah), PMR (Penilaian Menengah Rendah), mahupun SPM (Sijil Pelajaran Malaysia). Ada kemungkinan pencapaiannya sebelum ini menjadi motivasi diri. Dari situ kita dapat lihat, tidak bermakna anda tidak mencapai keputusan yang memberangsangkan bermaksud anda sudah gagal.

Seorang insan yang tidak pernah mencapai semua A, kini berada di luar negara dan merupakan antara pelajar terbaik disana. Situasi begini wujud di dunia, ini semua fakta. Ada banyak perkara yang bakal anda lalui. Liku-liku jalan yang penuh duri. Hakikatnya, orang yang menikmati kejayaan adalah orang yang terus berusaha tidak kira berapa kali dia jatuh tersembam ke tanah. Bangkit dan teruskan perjalanan. Begitulah juga bagaimana kita belajar berjalan.

Saya pernah berada di dalam zon yang sangat selesa. Saya merasakan saya boleh berjaya ataupun lulus dengan usaha yang ala kadar. Naif dan ceteknya pemikiran ketika itu. Pertama kali saya mendapat markah ujian 30/100. Bagi kebanyakan pelajar disana, markah tersebut mungkin perkara biasa. Malah ada yang dapat markah kosong. Tapi tidak bagi saya.  Angka 30 itu adalah kejutan besar. Pengalaman gagal masa lampau tidak dapat menandingi betapa terkejutnya saya ketika saya diberi semula kertas ujian tersebut.  Pengajaran daripada pengalaman itu saya ambil sedikit demi sedikit. Saya belajar dari kesilapan dan kegagalan.

Kadang-kadang saya duduk termenung seorang diri sambil menikmati kopi panas memikirkan masa hadapan. Kadang-kadang menepuk dada ketika badan dibasahi air panas ketika mandi. Masa depan seakan-akan gelap. Arah tuju masih tiada, masih terkapai-kapai terapung di udara. Ingin terbang lebih tinggi tiada keberanian, ingin jatuh ke tanah ketakutan. Ini yang pernah terjadi kepada saya.

Di sebuah negara asing, saya lihat banyak perkara. Di dalam sebuah masyarakat asing, saya disentak realiti kehidupan. Saya dihujani pelbagai soalan. Bagaimana saya perlu ubah mentaliti saya. Perlukah saya ikut kehendak hati? Boleh kah saya melakukannya? Semua nya terpacar di satu sudut pemikiran saya. Hendak dijadikan cerita, gagal itu tidak mengapa. Peluang ada dimana-mana. Saya ada seorang abang. Ceritanya lebih bersimpang siur seperti akar yang menjulur mencengkam tanah.

Abang saya tidak lah mempunyai sehelai sijil SPM yang boleh dibanggakan. Lari kesana kemari. Berhenti belajar dan bekerja. Kemudian menyambung pelajaran semula setelah dipaksa. Tapi sekarang saya lihat dia berjaya. Masa yang diambil juga agak lama. Sekiranya kita sendiri gembira dengan apa yang dilakukan, saya kira kita sudah berjaya. Tidak perlu banyak harta, asalkan berpuas hati, jiwa jadi tenang.

Kisah abang saya lebih kepada banyaknya tiket emas yang anda perolehi. Dalam keadaan yang tidak disangka. SPM bukan lah satu-satunya tiket emas anda dalam hidup ini. Terdapat pelbagai lagi peluang tersedia untuk anda. Kita ada satu matlamat. Satu arah tuju. Satu destinasi. Tapi jalan kesana terlalu banyak.

Abang saya terlepas tiket emas SPM. Ketika belajar di Uitm, abang saya ditawar untuk menyambung pengajian di peringkat Master dan Phd dengan tajaan penuh di UK. Abang saya tolak. Sekali lagi, abang saya mensia-siakan tiket emas itu. Setelah tamat pengajian, kini, abang saya bekerja di luar negara dengan gaji yang agak lumayan. Dan dia seakan-akan gembira dengan apa yang dicapai olehnya. Itu mungkin tiket emas yang dicari-carinya selama ini.

Ada ibrahnya. Ia datang bergolek. Dalam keadaan tidak disangka. Ia mungkin mengambil masa. Dalam sabar ada nikmatnya. Dalam redha, ada cahayanya. Dalam keadaan anda memanjatkan doa, peluang itu muncul di depan mata. Tidak kira dalam keadaan apa, syukur lah. Bila buruk datang melanda, bila manis datang menyapa.

Semakin anda melangkah jauh kedepan, semakin banyak dugaan yang anda lalui. Anda mungkin mampu bersabar dengan dugaan yang banyak, tapi semakin hari dugaan itu menguji setiap aspek kehidupan. Ia mencabar mental, memenatkan fizikal, dan menggugat spiritual. Ia mengukur sejauh mana anda sudah matang. Ia mengajar bagaimana anda harus matang.

Saya sudah merasa bagaimana hidup orang bekerja.

Cerita nya lain pula.

bersambung...


P/s: Maaf saya ambil terlalu lama masa untuk menghabiskan siri ini. Saya cuba habiskan dalam 5 siri. Tapi banyak pula perkara yang ingin ditulis. Pada mulanya saya hanya ingin fokus kepada SPM, tapi bila difikirkan balik, tema kegagalan ini ada dimana-mana. Jadi saya tukar niat dan terus menulis siri ini menceritakan pengalaman saya. InsyaAllah, SPM #7 adalah post terakhir. Saya cuba simpulkan semua sekali dalam dua post terakhir selewat-lewatnya minggu ini. Spoiler la pulak.



Friday, March 29, 2013

SPM #4

Hari pertama saya mendaftarkan diri di Taylor's College sudahnya pasti nya saya berdebar. Seluar khakis hitam, baju kolar coklat berjenama PDI, dan juga rambut yang dipotong kemas. Kesedihan melanda pabila rambut panjang paras bahu saya terpaksa dipotong.

Berbalik kepada cerita, hari pertama saya telah pun berkenalan dengan para senior saya di ICPU. Pertemuan kami tidak lama. Tempoh kami bersama sesingkat perjalanan masa dalam ingatan anda untuk tempoh seminggu. Namun, kami sempat berkongsi cerita, pengalaman dan juga harapan. Mereka-mereka merupakan senior-senior yang saya kagumi and hormati.

Kagum dan menjadi idola kerana mereka berjaya menempah tempat di universiti terkemuka di Canada. Bahkan ada yang bertaraf dunia. Lenggok gaya seperti biasanya saja, perangai ada juga serupa putus wayar. Alkisah itu semua tidak penting. Bukti nya jelas di depan mata. Mereka pasti ke bumi Canada. Mereka banyak memberi dorongan, dalam gurau senda, tentunya ingin melihat orang lain berjaya. Dan saya masih ingat lagi janji kami (saya dan housemate saya ketika itu) dengan para senior sekalian,

Jumpa di Canada

Alhamdulillah, janji itu berjaya kami tunaikan. Namun, disebalik janji, kami mengerti. ICPU kini adalah halangan seterusnya. Jika Canada menjadi harapan dan angan-angan, ICPU sentiasa dalam ingatan. Kami masih lagi belajar seperti biasa, hampir sama seperti zaman sekolah. Namun tugasan dan assignment yang diberikan terus menerus menguji kesabaran.

3 hari bersengkang mata menyiapkan project fizik (Rube Goldberg), nescafe latte dan mocha ditogok sepanjang masa. Library menjadi tumpuan. Buku sentiasa berada disisi. Tidak lah hari-hari, tapi kerap kali. Begitu lah kehidupan kami ketika di Taylor's College. Suasana belajar yang aman dan mencetus motivasi, kalau bukan kerana library, sudah pasti English kami dapat pangkat 'E'. Life of Pi dan Lord of the Flies ditatap dikala malam hari. Selang seli ditemani The Tales of Two Cities, The Scarlet Letter, Catch 22 dan pelbagai lagi.

ICPU itu taruhan. Kami cagarkan masa depan. Setelah setahun pahit manis penat lelah kami lalui, hari graduasi kami pun tiba. Saat itu ada gembira. Ada yang duka beralaskan senyum mesra. Saya masuki dewan dengan langkah kanan, berjubah graduasi hitam, baju kemeja berbelang biru dan tahi leher maroon berbelang biru gelap dan kelabu. Tempat duduk dewan terbahagi kepada dua, kanan dan kiri dan ada tanda di setiap kerusi.

Kami diberikan tempat duduk mengikut ranking bermula dari satu. Alangkah sayu nya apabila kami mendapat tahu tempat duduk kanan dewan adalah untuk mereka yang mendapat peratusan 80% dan ke bawah. Melihat muka rakan karib anda, muka teman sekepala, muka teman sepak bola bersama berada di dalam satu dewan namun duduk di bahagian yang sudah jelas, harapan mereka berderai. Namun, hari graduasi, siapa mahu menunjukkan raut wajah bergaris tiga?

Ada yang diantara mereka cemerlang SPM. Namun, fasa ICPU, SPM bukan lagi tiket anda. Tiket anda yang perlu anda kejar ialah keputusan OSSD (Ontario Secondary School Diploma) yang cemerlang. Kami bergembira dalam duka. Berduka untuk teman perjuangan. Memberi galakan untuk tidak putus asa. Namun saat itu, kata-kata hanya tinggal kata-kata.

Usaha dan penat lelah kami di ICPU yang melayakkan kami. Air mata dicurahkan. Lelah hati dihembuskan. Cagaran masa depan itu berat, namun sedikit demi sedikit kami belajar betapa pentingnya keputusan itu di akhir hari. Kudrat yang ada dilepaskan semua. Dalam kecewa, segenap cahaya sudah cukup untuk membuatkan mereka-mereka terus berusaha, dan tidak putus harapan. Kehulu, kehilir, kesana dan kemari. Berjumpa orang itu, berjumpa orang ini. Namun segenap cahaya ini jugalah mampu membuat mereka tersenyum.

Usaha demi usaha, hampir semua daripada kami berjaya ke bumi yang terkenal dengan Maple Leaf nya itu. Namun, ada juga hanya mengirimkan salam. Mata dan jiwa memandang langit, melihat bulan yang sama dari bumi Malaysia. Perjalanan itu mungkin sukar untuk kami terima. Apatah lagi yang menanggungnya. Ada hikmah mungkin. Seperti pepatah Inggeris, "Every cloud has a silver lining". Kita berjiwa insani, sedih itu masih terasa namun perlu mencarinya redha.

Namun, realiti hidup masih belum menerjah sepenuhnya. Ada lagi dugaan menunggu buat kami.

Di sebuah negara asing, bahasanya asing, makanan nya asing, adatnya asing, cuaca nya asing. Dan kami sendiri, orang nya asing. Dalam keadaan asing itu, tiket apakah yang perlu lagi kami kejar?

Saya dalam kesedihan. Saya dalam kerisauan. Saya dalam kegembiraan. Dan saya juga dalam kebingungan. Diri disentak pelbagai emosi. Dalam selangkah kami ke alam univerisiti dan ingin mengenal dunia alam dewasa, dalam keadaan naif itu jugalah kami yakinkan diri untuk bersedia.

Namun, hari tidak selalu indah. Langit tidak selalu cerah. Mana mungkin, bumi tidak ditimpa gerimis. Bahkan, salju putih seakan-akan suci juga menyentap badan dengan kesejukan.

Kaki saya yang berat itu saya langkahkan. Langkah kan kemana? Kehadapan, kerana saya tiada pilihan.

bersambung...



Wednesday, March 27, 2013

SPM #3

Taylor's College merupakan salah satu kolej terkemuka Malaysia. Terdapat empat program utama menempatkan para pelajar untuk persediaan ke luar negara. ADP (American Degree Program), Cambridge A-Level, ICPU (International Canadian Pre-University) dan SAM (South Australian Matriculation). Saya ditempatkan di dalam program ICPU.

Kebanyakan pelajar ditaja oleh JPA atau MARA. Saya ada beberapa kenalan yang menerima biasiswa nama-nama besar. Bercerita tentang topik sensitif topik keputusan SPM seperti suatu perkara yang taboo mungkin ketika itu. Keseganan juga merupakan faktor lain. Namun, setelah berkenalan, berkongsi cerita, makan bersama, saya memberanikan diri untuk bertanya.

SPM dulu dapat berapa?

Ayatnya ringkas sahaja. Namun beban menyuarakan pertanyaan tersebut seperti menelan hempedu, pahit. Saya menelan liur menunggu jawapan setiap kali saya bertanyakan soalan demikian. Terkejut, seperti biasa dan juga sudah agak adalah antara tiga reaksi saya terhadap jawapan yang diberikan. Maka, di sini saya ingin berkongsi mengapakah salah satu reaksi saya adalah terkejut.

Tidak semua penerima biasiswa nama-nama besar ini, (tidak terkecuali JPA dan MARA) mendapat straight A atau straight A1 (ketika itu kami masih menggunapakai sistem A1 A2 B3 - G9). Ada kurangnya satu, ada kurangnya dua, malah ada juga kurangnya tiga. Timbul satu persoalan, bukankah SPM menentukan segala-galanya?

Pada mulanya saya bersikap acuh tidak acuh, tidak ambil endah. Namun, atas rasa ingin tahu, saya cuba mencari jawapan. Mencari dimana hebatnya mereka. Apa yang dilihat pada mereka sehingga mereka menjadi antara insan-insan terpilih walaupun beribu-beribu pelajar bersaing untuk mendapat tempat sebagai penerima biasiswa. Saya pernah pergi ke temuduga biasiswa Sime Darby. Saya gagal. Temuduga Sime Darby mempunyai 3 hingga 5 peringkat mengikut tahun. Saringan demi saringan dilakukan hanya untuk memilih 50 terbaik seluruh Malaysia untuk bergelar 'Scholars Sime Darby'.

Maka ada diantara mereka-mereka ini merupakan salah seorang daripada 50 pelajar tersebut. Kuncinya ialah SPM. Tapi kunci nya bukan lah sahaja SPM. Terdapat faktor lain yang membezakan antara 50 pelajar ini dengan pelajar-pelajar lain yang mendapat straight A, kira-kira dalam 10,000 orang pada tahun 2008.

Setiap kali saya bersua muka dengan mereka, saya dapat merasakan aura yang berbeza jika dibandingkan apabila saya bersama dengan orang lain. Dari raut wajah, gaya bercakapan, dan bahasa badan, ada sedikit kelainan yang perlu diperhati secara teliti. Hari demi hari, dalam keadaan sempoi orang kata, saya cuba mengorek jawapan kepada persoalan tersebut.

Ia lebih kepada personaliti. Kebanyakan daripada mereka mempunyai hala tuju yang tetap dan mereka yakin terhadap pilihan mereka. Saya ingin jadi seorang doktor. Saya ingin jadi seorang accountant. Saya ingin jadi seorang engineer. Pabila saya masih keliru mengapa saya mengambil engineering, mereka-mereka ini telah pun melukis garis panduan hala tuju mereka. Mereka ada sebab musabab, mereka ada usaha, mereka ada visi dan juga misi. Dan mereka juga aktif dalam persatuan dan sukan. Menyertai bahas sekolah ke peringkat kebangsaan, mewakili negeri dalam sukan-sukan tertentu, memegang jawatan khas dalam peringkat sekolah, dan juga aktiviti lain.

Kepada yang lain, semua ini dilakukan mungkin kerana minat atau suka-suka. Apa yang lihat pada beberapa kenalan saya ini, mereka ambil semua perkara dengan sikap yang serius. Jika ingin sesuatu, jika ingin buat sesuatu, buat dengan serius. Tidak bermakna kita tidak perlu 'having fun' dengan perkara yang kita lakukan, tapi 'end target' nya ialah kita buat sehingga berjaya. Mereka ada 'clear vision'. Mereka ada 'confidence'.

Ada yang perangai gila-gila. Ada yang semacam tidak berminat dengan semua perkara, dan juga ada yang malas tahap dewa. Namun, disebalik perwatakan luaran ini terselindung cerita-cerita hebat. Akademik bukan lagi tunjang utama pembangunan diri, mereka membangun secara menyeluruh. Melibatkan diri dengan aktiviti-aktivti kolej dan sebagainya. Rohani, jasmani, spiritual dan akhlak.

Dipendekkan cerita, di hening senja, kita akan tanya satu soalan kepada diri sendiri,

Bila kita nak jadi macam itu?

Ketika di Taylor's College, SPM bukan lagi menjadi tiket berharga. Ia telah dihabis guna dan kini hanya tinggal segulung kenangan. Result ICPU kini menjadi taruhan. Usaha kami ketika berada di dalam ICPU menentukan sama ada destinasi seterusnya ialah Canada atau Malaysia. Tiada lagi option lain. Hitam atau putih, kami diberi pilihan. Kami dikehendaki untuk mencapai target 80% keseluruhan bagi pelajar JPA dan 85% bagi pelajar MARA untuk melayakkan kami sebuah tiket flight ke negara sejuk di utara dunia itu.

SPM kini ditolak tepi. ICPU menjadi ketakutan dan juga keutamaan.

Dalam proses anda bertukar dari satu fasa ke fasa yang lain, benda-benda keutamaan itu juga berubah dari semasa ke semasa. Pengalaman hidup, gagal dan lulus, tersungkur dan bangkit, darah dan luka, semuanya menjadi sebahagian lumrah kehidupan. Bukan lagi atas sehelai kertas keputusan peperiksaan. Dan di Canada, bermula lagi satu episod baru. Mana mungkin pengalaman kehidupan itu dapat dilupakan.

Di Canada, realiti menerjah. 

bersambung...



Sunday, March 24, 2013

SPM #2

Satu pengakuan ikhlas dari saya, saya adalah seorang yang tidak ambil serius dalam hampir semua perkara. Saya yang dahulu. Saya merasakan umur 17 tahun itu masih mentah untuk saya membuat keputusan, menentukan hala tuju saya hanya berdasarkan keputusan SPM.

Saya menjadi buntu. Celaru akal fikiran. Gundah hati gelana jiwa. Apabila saya dibebani oleh perasaan ini, pelbagai soalan yang bersandarkan arah tuju menjadi suatu tekanan. Lepas ini nak ambil course apa? Nak sambung mana? Overseas atau local? Tak apply biasiswa apa-apa ke?

Atas sebab tersebut, saya berkurung selama 3 hari. Mencari ketenangan. Semata-mata alasan, saya hanya lari daripada mata-mata yang mengajukan soalan-soalan tersebut, saya lari dari masalah. Sebagai seorang pelajar lepasan SPM, sedikit sebanyak anda menjadi harapan keluarga. Tidak kira mendapat straight A, keputusan agak cemerlang mahupun serba serbi, anda masih lagi menggalas harapan keluarga. Saya mengalami pengalaman itu. Oleh kerana tiada seorang pun ahli keluarga mahupun saudara mara saya menceburi bidang kedoktoran, sedikit sebanyak harapan itu diletakkan diatas bahu saya. Sekali lagi, saya dihujani rasa serba salah, berada di atas pagar. Sehinggalah abah saya bersuara, pilihlah mana-mana bidang asalkan saya berpuas hati dan tidak menyesal di kemudian hari.

Jiwa yang dulu kian kacau mula tenang. Degup hati sudah tidak sekuat guruh di langit. Ia melegakan tetapi saya belum lagi usai temui jawapan. Dan akhirnya, dengan keputusan sambil lewa, saya pilih engineering. Saya mohon biasiswa JPA dan pelbagai lagi. UK menjadi tarikan utama sebagai tempat melanjutkan pelajaran. Tiket emas SPM saya guna sebaiknya. Saya menaruh harapan, tetapi usaha kearah harapan itu hanya ala kadar, dan semua diserahkan, dilepaskan, diredhakan mungkin. Dalam waktu itu, sekiranya saya tersepit oleh harapan ibubapa, saya rasa mungkin lebih baik. Saya tidak perlu lagi memikirkan dari A - Z, tidak perlu pening kepala, hanya usaha kearah target yang sudah ditetapkan.

Tapi masa depan anda, hak anda. Bukan hak orang lain, termasuklah ibubapa. Saya pegang nasihat abah saya, saya pilih jalan sendiri. Dan abah mama saya semakin faham dan biarkan semua nya berada dalam keputusan saya. Adakah semua disebabkan oleh keputusan SPM? Mungkin ya, mungkin tidak. Pada waktu ini, mungkin tidak nampak konklusinya lagi, kerana saya masih dalam proses membuat keputusan, suatu tahap ia diberi keutamaan.

Alhamdulillah, usaha ala kadar itu membuahkan hasil. Syukur. Saya bakal ke Canada atas tajaan JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam). UK terpaksa ditolak tepi. Tapi saya berpuas hati. Risau masih ada. Canada? Apa yang ada dengan Canada?

Bermula liku kehidupan di Taylor's College Subang Jaya. Kejutan budaya mungkin. Tidak lah sampai terikut-terikut atau sesat dalam pedoman kehidupan bandar, cuma sistem pembelajaran kini sedikit berbeza. Saya kenal orang berjaya. Saya kenal orang cemerlang. Saya kenal orang pandai. Bahkan, andaian dibuat apabila berjumpa, berkenalan dengan para penerima biasiswa yang lain. Saat ini SPM masih lagi relevan dan menjadi kayu ukur sejauh mana seseorang itu mampu pergi.

Fly mana? Scholar apa? UK, Sime Darby. Australia, Bank Negara. New Zealand, Petronas. Jawapan mengagumkan. Walaupun kami sama-sama penerima biasiswa, taraf dan kasta itu jelas wujud. Wujud rasa malu apabila bersua muka dengan mereka-mereka yang ditaja nama-nama besar. Pokoknya, mereka pasti mempunyai keputusan SPM yang 'gempak' kerana mampu menggarap biasiswa nama-nama besar ini.

Namun, tak ramai yang tahu. Kerana malu bertanya.

Saya bersua. Dan mula bertanya. Jawapannya agak mengejutkan.

bersambung...



Thursday, March 21, 2013

SPM #1

Topik panas mungkin. Saya bukan lah orang yang sesuai untuk bercerita tentang SPM (Sijil Pelajaran Malaysia), tapi sekadar berkongsi pengalaman. First, scene budak-budak SBP (Sekolah Berasrama Penuh). Bila tiba musim result keluar, mesti ranking akan menjadi sebutan.

Tapi agak kehairanan, bila benda ni boleh jadi suatu yang dibanggakan dan bawa bergaduh. Tak salah nak bangga dengan sekolah sendiri, tapi cukup lah sekadar berbangga. Bukan nya heboh satu dunia sekolah anda No 1 ranking SBP SPM. Bagi saya, ranking sekolah atau reputasi sekolah penting, tapi dari segi mentaliti mengagung-agungkan result SPM sekolah dan membuat perbandingan dengan sekolah-sekolah lain setiap tahun adalah suatu yang merepek. Dan perkara ini, menjurus kepada apa yang saya ingin utarakan dalam post ini.

SPM bukan segala-galanya

Saya tak pernah mengerti ayat ini dahulu. Dulu, setiap kali ada motivasi, atau career talk atau apa-apa sahaja tentang perkara selepas SPM, banyak kali diucap ungkapan ini oleh para senior, atau penceramah dan juga konduktor motivasi. SPM bukan segala-galanya. Setelah 4 tahun tamat sekolah, akhirnya saya mengerti ayat ini.

Result SPM yang bagus adalah tiket. Tiket untuk hidup dan juga masa depan yang lebih mudah. Tapi tiket adalah semata-mata tiket, dan bukannya penjamin masa depan. Ramai yang tidak pernah tahu, kerana tak pernah didedahkan dengan pengalaman hidup yang lebih mencabar selepas zaman sekolah. Dan juga perkongsian pengalaman tak semestinya memberi pemahaman yang mendalam terhadap frasa "SPM bukan segala-galanya" kepada pelajar-pelajar SPM. The best way to learn yet again to experience it ourselves.

Saya mendapat keputusan yang agak cemerlang dalam SPM. Pada masa yang sama, saya tiada arah tuju. Medic? Engineering? Account? Business Management? Stress memikirkan bidang apa yang ingin diambil kerana kurang pendedahan. Cita-cita atau kerjaya pilihan tidak disulami dengan pengetahuan atau info tentang bidang-bidang tersebut. Sedikit sebanyak ketika itu dalam fikiran saya, apa guna dapat result yang cemerlang kalau arah tuju pun masih terkapai-kapai. Tidak bermakna saya tidak bersyukur atau tidak gembira dengan keputusan tersebut, tapi dalam keadaan sedemikian rupa, membuat pilihan masa depan bukan bergantung sepenuhnya pada keputusan SPM yang ada dalam genggaman.

Saya ambil jurusan mekanikal. Atas alasan, saya fobia darah, jadi medic tidak termasuk dalam pilihan. Mungkin engineering, kerana saya meminati fizik dan matematik. Agak cliche disitu, tapi itulah realiti yang terjadi. Ilmu fizik dan matematik itu luas, tetapi saya membuat pilihan yang batasnya hanya berdasarkan apa yang saya belajar ketika di sekolah. Saya tidak membuat apa-apa persediaan, tiada research, tiada perbandingan, hanya sekadar bertanya dan mendengar daripada buah mulut orang lain. Oleh kerana mungkin mechanical engineering ini dikatakan 'general engineering', saya pilih bidang ini. Bermula suatu perubahan dalam hidup, apabila saya mula mengetahui apa itu erti kehidupan sebenar. Kehidupan selepas anda keluar dari zon selesa, kehidupan dimana semua pilihan di tangan anda, bukan lagi pilihan ibubapa dan tiada lagi tunjuk ajar para guru.

bersambung...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...