Friday, March 29, 2013

SPM #4

Hari pertama saya mendaftarkan diri di Taylor's College sudahnya pasti nya saya berdebar. Seluar khakis hitam, baju kolar coklat berjenama PDI, dan juga rambut yang dipotong kemas. Kesedihan melanda pabila rambut panjang paras bahu saya terpaksa dipotong.

Berbalik kepada cerita, hari pertama saya telah pun berkenalan dengan para senior saya di ICPU. Pertemuan kami tidak lama. Tempoh kami bersama sesingkat perjalanan masa dalam ingatan anda untuk tempoh seminggu. Namun, kami sempat berkongsi cerita, pengalaman dan juga harapan. Mereka-mereka merupakan senior-senior yang saya kagumi and hormati.

Kagum dan menjadi idola kerana mereka berjaya menempah tempat di universiti terkemuka di Canada. Bahkan ada yang bertaraf dunia. Lenggok gaya seperti biasanya saja, perangai ada juga serupa putus wayar. Alkisah itu semua tidak penting. Bukti nya jelas di depan mata. Mereka pasti ke bumi Canada. Mereka banyak memberi dorongan, dalam gurau senda, tentunya ingin melihat orang lain berjaya. Dan saya masih ingat lagi janji kami (saya dan housemate saya ketika itu) dengan para senior sekalian,

Jumpa di Canada

Alhamdulillah, janji itu berjaya kami tunaikan. Namun, disebalik janji, kami mengerti. ICPU kini adalah halangan seterusnya. Jika Canada menjadi harapan dan angan-angan, ICPU sentiasa dalam ingatan. Kami masih lagi belajar seperti biasa, hampir sama seperti zaman sekolah. Namun tugasan dan assignment yang diberikan terus menerus menguji kesabaran.

3 hari bersengkang mata menyiapkan project fizik (Rube Goldberg), nescafe latte dan mocha ditogok sepanjang masa. Library menjadi tumpuan. Buku sentiasa berada disisi. Tidak lah hari-hari, tapi kerap kali. Begitu lah kehidupan kami ketika di Taylor's College. Suasana belajar yang aman dan mencetus motivasi, kalau bukan kerana library, sudah pasti English kami dapat pangkat 'E'. Life of Pi dan Lord of the Flies ditatap dikala malam hari. Selang seli ditemani The Tales of Two Cities, The Scarlet Letter, Catch 22 dan pelbagai lagi.

ICPU itu taruhan. Kami cagarkan masa depan. Setelah setahun pahit manis penat lelah kami lalui, hari graduasi kami pun tiba. Saat itu ada gembira. Ada yang duka beralaskan senyum mesra. Saya masuki dewan dengan langkah kanan, berjubah graduasi hitam, baju kemeja berbelang biru dan tahi leher maroon berbelang biru gelap dan kelabu. Tempat duduk dewan terbahagi kepada dua, kanan dan kiri dan ada tanda di setiap kerusi.

Kami diberikan tempat duduk mengikut ranking bermula dari satu. Alangkah sayu nya apabila kami mendapat tahu tempat duduk kanan dewan adalah untuk mereka yang mendapat peratusan 80% dan ke bawah. Melihat muka rakan karib anda, muka teman sekepala, muka teman sepak bola bersama berada di dalam satu dewan namun duduk di bahagian yang sudah jelas, harapan mereka berderai. Namun, hari graduasi, siapa mahu menunjukkan raut wajah bergaris tiga?

Ada yang diantara mereka cemerlang SPM. Namun, fasa ICPU, SPM bukan lagi tiket anda. Tiket anda yang perlu anda kejar ialah keputusan OSSD (Ontario Secondary School Diploma) yang cemerlang. Kami bergembira dalam duka. Berduka untuk teman perjuangan. Memberi galakan untuk tidak putus asa. Namun saat itu, kata-kata hanya tinggal kata-kata.

Usaha dan penat lelah kami di ICPU yang melayakkan kami. Air mata dicurahkan. Lelah hati dihembuskan. Cagaran masa depan itu berat, namun sedikit demi sedikit kami belajar betapa pentingnya keputusan itu di akhir hari. Kudrat yang ada dilepaskan semua. Dalam kecewa, segenap cahaya sudah cukup untuk membuatkan mereka-mereka terus berusaha, dan tidak putus harapan. Kehulu, kehilir, kesana dan kemari. Berjumpa orang itu, berjumpa orang ini. Namun segenap cahaya ini jugalah mampu membuat mereka tersenyum.

Usaha demi usaha, hampir semua daripada kami berjaya ke bumi yang terkenal dengan Maple Leaf nya itu. Namun, ada juga hanya mengirimkan salam. Mata dan jiwa memandang langit, melihat bulan yang sama dari bumi Malaysia. Perjalanan itu mungkin sukar untuk kami terima. Apatah lagi yang menanggungnya. Ada hikmah mungkin. Seperti pepatah Inggeris, "Every cloud has a silver lining". Kita berjiwa insani, sedih itu masih terasa namun perlu mencarinya redha.

Namun, realiti hidup masih belum menerjah sepenuhnya. Ada lagi dugaan menunggu buat kami.

Di sebuah negara asing, bahasanya asing, makanan nya asing, adatnya asing, cuaca nya asing. Dan kami sendiri, orang nya asing. Dalam keadaan asing itu, tiket apakah yang perlu lagi kami kejar?

Saya dalam kesedihan. Saya dalam kerisauan. Saya dalam kegembiraan. Dan saya juga dalam kebingungan. Diri disentak pelbagai emosi. Dalam selangkah kami ke alam univerisiti dan ingin mengenal dunia alam dewasa, dalam keadaan naif itu jugalah kami yakinkan diri untuk bersedia.

Namun, hari tidak selalu indah. Langit tidak selalu cerah. Mana mungkin, bumi tidak ditimpa gerimis. Bahkan, salju putih seakan-akan suci juga menyentap badan dengan kesejukan.

Kaki saya yang berat itu saya langkahkan. Langkah kan kemana? Kehadapan, kerana saya tiada pilihan.

bersambung...



No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...