Terkinja-kinja. Excited terlebih. Saat itu, tidak terlintas langsung dalam fikiran saya apa yang bakal saya lalui. Toronto, sebuah bandar metropolitan yang boleh saya katakan aman. CN Tower megah berdiri berhadapan Tasik Ontario sering mengingatkan saya kepada Malaysia. Rupanya seakan-akan KL Tower.
Zaman universiti merupakan zaman peralihan dan perubahan yang sebenar. Walaupun masih lagi dalam kategori pelajar, fasa ini fasa realiti. Apa yang anda lakukan berbalik kepada diri anda sendiri, bahkan orang disekeliling anda. Lagi-lagi apabila anda berada di sebuah negara yang berbatu jauhnya dari kampung halaman.
Di sini, saya belajar mengenali bermacam-macam jenis orang. Dari mata sepet ke mata bulat, kulit putih ke kulit nya gelap. Tinggi dan rendah. Canada hampir sama dengan Malaysia. Budaya nya bermacam-macam. Saya sering memerhati dari jauh gelagat orang, budaya setempat dan juga kawasan sekeliling. Jika ditanya manakah yang saya lagi suka, saya akui sedikit dalam hati saya, Toronto ialah sebuah bandar yang jauh lebih indah.
Disebalik pemerhatian saya itu, ada satu kesilapan yang saya lakukan. Saya tidak mengambil ibrah. Akhirnya, saya mengerti dengan cara yang tidak saya ingini. Perasaan itu seperti pahitnya kopi tanpa gula. Lesson learned, itu semua cara kehidupan mengajar kita.
Saya ada seorang senior di sana yang saya kagumi dalam diam. Seorang yang pendiam dan tidak berapa bergaul dengan orang ramai, tapi dia merupakan salah seorang pelajar terbaik di sana. Bukan sahaja dalam kalangan kami, pelajar Malaysia malah juga berjaya dalam kalangan orang-orang luar. Hampir setiap semester memperoleh 'dean list'. Juga seorang yang serius apabila melakukan sesuatu perkara, dan juga tekun untuk memperbaiki kelemahan diri.
Pandangan luaran biasa-biasa sahaja. Bertubuh kecil dan berkaca mata. Antara pengalaman nya yang sempat kami kongsi bersama, dia tidak pernah mendapat keputusan straight A. Baik UPSR (Ujian Penilaian Sekolah Rendah), PMR (Penilaian Menengah Rendah), mahupun SPM (Sijil Pelajaran Malaysia). Ada kemungkinan pencapaiannya sebelum ini menjadi motivasi diri. Dari situ kita dapat lihat, tidak bermakna anda tidak mencapai keputusan yang memberangsangkan bermaksud anda sudah gagal.
Seorang insan yang tidak pernah mencapai semua A, kini berada di luar negara dan merupakan antara pelajar terbaik disana. Situasi begini wujud di dunia, ini semua fakta. Ada banyak perkara yang bakal anda lalui. Liku-liku jalan yang penuh duri. Hakikatnya, orang yang menikmati kejayaan adalah orang yang terus berusaha tidak kira berapa kali dia jatuh tersembam ke tanah. Bangkit dan teruskan perjalanan. Begitulah juga bagaimana kita belajar berjalan.
Saya pernah berada di dalam zon yang sangat selesa. Saya merasakan saya boleh berjaya ataupun lulus dengan usaha yang ala kadar. Naif dan ceteknya pemikiran ketika itu. Pertama kali saya mendapat markah ujian 30/100. Bagi kebanyakan pelajar disana, markah tersebut mungkin perkara biasa. Malah ada yang dapat markah kosong. Tapi tidak bagi saya. Angka 30 itu adalah kejutan besar. Pengalaman gagal masa lampau tidak dapat menandingi betapa terkejutnya saya ketika saya diberi semula kertas ujian tersebut. Pengajaran daripada pengalaman itu saya ambil sedikit demi sedikit. Saya belajar dari kesilapan dan kegagalan.
Kadang-kadang saya duduk termenung seorang diri sambil menikmati kopi panas memikirkan masa hadapan. Kadang-kadang menepuk dada ketika badan dibasahi air panas ketika mandi. Masa depan seakan-akan gelap. Arah tuju masih tiada, masih terkapai-kapai terapung di udara. Ingin terbang lebih tinggi tiada keberanian, ingin jatuh ke tanah ketakutan. Ini yang pernah terjadi kepada saya.
Di sebuah negara asing, saya lihat banyak perkara. Di dalam sebuah masyarakat asing, saya disentak realiti kehidupan. Saya dihujani pelbagai soalan. Bagaimana saya perlu ubah mentaliti saya. Perlukah saya ikut kehendak hati? Boleh kah saya melakukannya? Semua nya terpacar di satu sudut pemikiran saya. Hendak dijadikan cerita, gagal itu tidak mengapa. Peluang ada dimana-mana. Saya ada seorang abang. Ceritanya lebih bersimpang siur seperti akar yang menjulur mencengkam tanah.
Abang saya tidak lah mempunyai sehelai sijil SPM yang boleh dibanggakan. Lari kesana kemari. Berhenti belajar dan bekerja. Kemudian menyambung pelajaran semula setelah dipaksa. Tapi sekarang saya lihat dia berjaya. Masa yang diambil juga agak lama. Sekiranya kita sendiri gembira dengan apa yang dilakukan, saya kira kita sudah berjaya. Tidak perlu banyak harta, asalkan berpuas hati, jiwa jadi tenang.
Kisah abang saya lebih kepada banyaknya tiket emas yang anda perolehi. Dalam keadaan yang tidak disangka. SPM bukan lah satu-satunya tiket emas anda dalam hidup ini. Terdapat pelbagai lagi peluang tersedia untuk anda. Kita ada satu matlamat. Satu arah tuju. Satu destinasi. Tapi jalan kesana terlalu banyak.
Abang saya terlepas tiket emas SPM. Ketika belajar di Uitm, abang saya ditawar untuk menyambung pengajian di peringkat Master dan Phd dengan tajaan penuh di UK. Abang saya tolak. Sekali lagi, abang saya mensia-siakan tiket emas itu. Setelah tamat pengajian, kini, abang saya bekerja di luar negara dengan gaji yang agak lumayan. Dan dia seakan-akan gembira dengan apa yang dicapai olehnya. Itu mungkin tiket emas yang dicari-carinya selama ini.
Ada ibrahnya. Ia datang bergolek. Dalam keadaan tidak disangka. Ia mungkin mengambil masa. Dalam sabar ada nikmatnya. Dalam redha, ada cahayanya. Dalam keadaan anda memanjatkan doa, peluang itu muncul di depan mata. Tidak kira dalam keadaan apa, syukur lah. Bila buruk datang melanda, bila manis datang menyapa.
Semakin anda melangkah jauh kedepan, semakin banyak dugaan yang anda lalui. Anda mungkin mampu bersabar dengan dugaan yang banyak, tapi semakin hari dugaan itu menguji setiap aspek kehidupan. Ia mencabar mental, memenatkan fizikal, dan menggugat spiritual. Ia mengukur sejauh mana anda sudah matang. Ia mengajar bagaimana anda harus matang.
Saya sudah merasa bagaimana hidup orang bekerja.
Cerita nya lain pula.
bersambung...
1 comment:
cepatlah update next entry. saya setia menanti. mihmih. ;)
Post a Comment