Sunday, April 7, 2013

SPM #6

Pernahkan anda melihat orang lain dan anda termotivasi untuk melakukan perkara yang sama. Saya pasti ramai yang pernah. Saya juga begitu.

Roommate saya dahulu ketika di sekolah sangatlah tidak menggemari subjek fizik dan kimia. Dia akan jadi excited jika bercerita tentang subjek sejarah dan biologi. Mungkin kerana dia lebih suka membaca. Manakala saya pula sebaliknya. Membaca ialah suatu perkara yang sangatlah tidak disukai. Lagi-lagi membaca nota atau buku teks. Ia merangsang otak untuk tidak berfungsi, lalu saya tidur.

Tahun 2008 ialah tahun saya mengambil SPM. Tahun itu juga ramai rakan-rakan menjadi insaf dan mula berusaha untuk melakukan yang terbaik. Ini termasuklah roommate saya. Dia sesekali meminta pada saya,

"Weh, petang ni ajar aku fizik ea", "Weh, tolong aku study kimia".

Saya tidak menolak. Hari sabtu dan ahad merupakan hari cuti kami, hanya pagi sabtu terdapat kelas tambahan dan malam ahad jadual nya ialah prep malam. Jadi selebihnya merupakan masa terluang dan rehat. Petang ahad dan sabtu menjadi kelaziman untuk kami berdua menelaah subjek fizik dan kimia. Saya akan duduk di atas katil, membaca komik, makan mahupun menelaah sekali. Sekiranya ada soalan yang tidak faham, dia akan bertanya. Sepanjang tahun kami begitu.

Saya seorang yang malas. Malas yang sangat malas. Ada kelapangan saya tidur. Tiada kelapangan pun saya tidur. Jadi saya amat kurang membaca. Tapi oleh kerana roommate saya ini sedikit hyperactive dan excited bila saya mengaju soalan biologi atau sejarah, dia akan mula bercerita dan menerangkan segala-galanya. Begitu lah saya belajar sejarah dan biologi. Melalui soal jawab bersama dia.

Tapi itu bukan lah titik yang utama. Ia berkenaan usaha. Roommate saya memerlukan masa yang agak lama untuk memahami satu konsep fizik. Lampu asrama ditutup pada pukul 11 malam setiap hari. Dikenali juga sebagai 'lights off'. Bilik study juga hanya dibenarkan sehingga jam 1 pagi. Ketika itu saya termotivasi dan juga berasa agak malu dengan roommate saya.

Selepas light off, hanya lampu koridor saja yang menyala. Selepas lights off, roommate saya akan menarik meja dan belajar di bawah lampu koridor. Hampir setiap malam. Kebanyakan daripada kami lebih suka melepak, mendengar lagu, menelaah sekali sekala dan kadang-kala lebih kepada bergosip. Saya melihat dia berkelakuan begitu setiap hari, malah sehingga jam 3 4 pagi. Dan terbit rasa insaf, kenapa dia sanggup berkorban masa dan tenaga untuk belajar? Kenapa tidak saya? Dia merupakan salah seorang rakan saya yang mampu membuatkan saya study tanpa perlu disuruh.

Ia menjadi pedoman untuk anda melihat orang yang begitu tekad untuk berjaya. Walaupun saya kata SPM bukanlah segala-galanya, berkat usaha roommate saya itu dia berjaya mendapat straight A. Dia pun seperti saya. Sering merungut. Tapi dia berbeza daripada saya. Mulut melenting, keringat dibanting. Muka merungut, tangan meragut. Seorang yang kuat berusaha, biar lah mulut meluahkan apa yang dirasa, namun dia tetap melakukan semuanya. Seorang yang sepatutnya belajar di luar negara namun atas sebab tertentu, menyambung pelajaran di negara tercinta. Diperingkat asasi memperolehi keputusan empat rata, dan kini sedang mengejar cita-cita sebagai seorang doktor. Saya doakan, mudah-mudahan menjadi doktor yang berjaya.

Ramai orang disekeliling kita begitu. Semakin kita kenal mereka, semakin kita tahu cerita mereka. Dan cerita-cerita ini sangat unik. Dan tidak semua perkara yang mereka rasa kita pernah alami. Jadi ia menjadi satu subjek renungan buat kita.

Seorang rakan saya juga lebih kurang sama ceritanya. Kehilangan ibu tersayang ketika di tingkatan tiga. Juga kehilangan ayah tercinta di tingkatan lima. Tahun kritikal kerana ketika itu kami perlu menghadapi peperiksaan besar, PMR dan SPM.

Tapi selepas tamat sekolah, dia merupakan orang yang berjaya lebih awal daripada kami. Mendapat tawaran biasiswa MAS (Malaysian Airlines), dan kini sudahpun bekerja. Sedangkan ketika ini, masih ramai dalam kalangan kami yang belum habis belajar, masih meneruskan usaha untuk mencapai segulung ijazah. Haluan atau jalan kehidupan semua orang tidak sama.

Ia atas diri kita sendiri. Ia pilihan, bukan paksaan.

Selangkah anda menapak sebagai orang berkerjaya, cabaran yang dihadapi juga berbeza. Daripada fasa memikirkan masa depan, ia bertukar menjadi tanggungjawab. Bahu anda dibebani pelbagai perkara. Anda mula memikirkan tentang kerjaya, tentang perkahwinan, dan juga keluarga.

Pabila saat itu tiba, sekali lagi sumber kekuatan perlu dicari.

Anda bukan lagi berdepan dengan buku dan pensel, kebanyakan kerjaya anda perlu berdepan dengan manusia. Yang ragamnya berbeza. Ada yang menyenangkan, ada juga yang membuatkan darah anda mendidih. Ada yang membantu, ada yang menikam dari belakang.

Kepenatan juga tidak terkata. Terkadang, keluar rumah bergelap, balik rumah juga bergelap. Meredah kesesakan lalu lintas, dimarahi oleh ketua, dan juga kertas kerja yang menimbun. Dalam keadaan itu, sabar menjadi sumber untuk terus bertahan.

Dinihari, dimana hendaknya sabar itu dicari?

bersambung...

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...