Wednesday, April 17, 2013

SPM #7

Sampai sudah stage pengakhiran. Tidak akhir mana, tetapi suatu hari nanti, kebanyakan daripada kita, jikalau tidak semua akan sampai pada fasa kemuncak ini.

Kerja, kerja dan kerja.

Bila anda sudah bekerja, situasinya sangat berbeza. Kita mungkin boleh membayangkan itu dan ini tentang kerjaya, tetapi realiti yang dihadapi oleh saya kini tidaklah seperti apa yang saya sangka. Ia seratus lapan puluh darjah berbeza. Antara perkara yang anda akan jumpa ialah, beliau seorang pelajar kejuruteraan. Kini seorang manager bank. Beliau seorang pelajar lawyer, kini seorang guru. Beliau tidak pernah menjejakkan kaki di universiti, kini seorang jutawan.

Pusing belitnya susah diterima pakai. Terkadang kita bingung, namun rezeki kita di tangan tuhan. Saya seorang pelajar kejuruteraan awam. Kini dalam proses latihan sebagai bakal jurutera. Perkara pertama yang saya sedar, saya belajar lain, saya lihat lain. Ada beberapa pengecualian apabila anda mula bekerja. Ada yang berkaitan dengan anda belajar, ada yang tidak ada kena mengena langsung, dan ada juga yang sepatutnya diaplikasikan ilmu yang anda timba didalam kelas (aircond mahupun tidak) tetapi diabaikan begitu sahaja.

Dan ketiga-tiga perkara ini, ada di tempat saya bekerja sekarang. Dan saat itu, tidak lah saya ingin katakan semua nya begitu, tetapi anda lebih banyak belajar berkomunikasi dengan orang lain daripada belajar lebih dalam tentang subjek pilihan anda di universiti atau kolej. Berhadapan dengan manusia yang penuh emosi, jujur saya katakan, ianya meletihkan. Sehingga satu saat, saya sudah lali dengan kerenah mereka, saya mula fokus untuk cuba menyukai apa yang saya lakukan. Saya jadikan ia tanggungjawab saya, dan bukan perkara main-main. Walaupun saat ini, saya masih lagi seorang pelajar practical.

Tidak kira setinggi mana SPM anda, secemerlang mana keputusan degree anda, anda tetap orang bawahan apabila anda mula bekerja. Konsep senior-junior masih lagi diamalkan. Hierarchy tempat kerja akan tetap menjadi keutamaan. Segulung ijazah bermakna buat anda, tapi tidak buat mereka. Bagi mereka, anda orang baru, anda perlu hormat dan ikut telunjuk orang lama. Tidak lah saya katakan kita tidak perlu hormat orang lain, terkadang orang yang terlampau mementingkan kasta akan menimbulkan pelbagai rasa tidak sedap hati, lagi-lagi hubungan sesama manusia.

Ada yang rajin bekerja tetapi gajinya biasa-biasa sahaja. Ada yang goyang kaki sahaja, tapi tebal poketnya. Ada yang mulut bergerak, tangannya tidak. Dan begitulah sebaliknya. Orangnya berpesen-pesen. Saya lebih banyak belajar erti kemanusiaan. Bagaimana mahu selesaikan persengketaan. Bagaimana mahu menolong orang dalam kesusahan. Dan bagaimana mahu bersabar. Saya mula mempersoalkan, faham mereka dimana?

Saya bekerja di sebuah construction site. Walaupun saya hanya seorang intern, tetapi saya ada kuasa untuk mengarah pekerja yang kebanyakkannya orang bangladesh, indonesia dan pakistan. Saya dan mereka sama sahaja disisi tuhan. Tetapi dalam hierarchy pekerjaan, saya lah boss, dia lah pekerja. Pekerja binaan, anda faham-faham sahajalah. Kerjanya bukan mudah. Dari pagi ke petang, mengetuk paku, membancuh simen, mengangkat besi dan sebagainya. Saya boss, saya berjalan kesana kesini memastikan kerja terus berjalan. Sungguh, saya penat setiap hari. Tetapi dibandingkan dengan mereka yang gajinya tidak seberapa, rasa kesian itu pasti ada.

Saya berkenalan dengan mereka, berborak tentang kampung halaman, sesekali bergelak ketawa. Saya duduk minum bersama orang bangla, melepak bersama orang indonesia dan bergurau dengan orang pakistan. Pada orang lain, mungkin saya ini serupa mereka, tetapi setelah mendengar kisah mereka, simpati saya kepada kebanyakkannya. Ada yang tinggalkan keluarga anak bini demi mencari rezeki, sehingga tidak pulang ke kampung selama 8 tahun pun ada. Pedoman berkenalan dengan mereka, saya rasa itu yang paling berharga. Namun pada mata sesetengah daripada kita, pedulikan itu semua. Sijil diterima itu yang terpenting, itu yang membezakan di antara 'boss' dan 'pekerja'.

Ada beberapa insan yang berperangai seperti ini. Oleh kerana mereka bertaraf 'tinggi' yang perlu dihormati, caci maki menjadi perkara biasa. Hormatnya entah kemana. Tua atau muda, dicicirkan saja. Pangkat itu yang utama. Mungkin disisi manusia, itu menjadi tumpuan mata-mata. Disisi tuhan? Ditempat saya bekerja, ada yang semuda 20 tahun, sehingga setua 50 ke 60 tahun. Tenaga dikerah kerana susah. Kita yang senang, terus bergelumang?

4 fasa saya alami. Dan setiap fasa, ada dongengnya sendiri. Setiap dongeng, ada pengajaran yang berbeza-beza. Saya tahu saya perlu lebih banyak berusaha. Saya berjemaah bersama pekerja saya. Kadang kala mereka yang mengimamkan. Baju yang dipenuhi peluh, ditukar. Kain pelikat bersih disarungkan. Apa semua erti pencapaian dunia, jika tujuan utama kita endahkan?

Saya belajar jadi orang bawahan. Disuruh itu ini, dimarah sana sini. Saya belajar jadi boss. Toleransi, bertimbang rasa dan juga belajar menyelesaikan masalah secara professional. Saya tidak terikat untuk melakukan kerja-kerja berat, tapi kadang-kadang saya ingin rasa sendiri. Berdiri di tempat mereka, memegang tukul, mengangkat kayu, agar saya tahu bagaimana perasaan mereka, untuk saya jadi lebih manusia daripada manusia.

Apa yang saya ada saya tolak tepi. Saya dan mereka sama sahaja. Cuma yang membezakan kami mungkin, siapa yang sedar dan siapa yang hanyut, hilang berpaut. Beruntunglah orang yang sabar. Pada awal bekerja, saya sering merungut. Keluar bergelap, pulang pun bergelap. Letihnya tak terkata. Sekali sekala, saya terlelap seawal pukul 9 malam, makan malam entah kemana, dan pagi esoknya kebulur serupa tiga hari tak makan. Perjalanan pulang ke rumah menguji tahap kesabaran saya. Satu jam setengah di atas jalan raya, kadang-kadang sehingga 2 jam. Asar terkejar-kejar, maghrib pun sama. Pemandu-pemandu Malaysia yang memandu seperti lembu gila, seperti kura-kura, accident dari masa ke masa, dan juga kereta rosak di tengah jalan. Semuanya menstresskan. Sudahlah stress di tempat kerja, tamat waktu kerja pun serupa. Demikian, sabar itu berlian. Nilai nya tiada.

Ini semua berdasarkan apa yang saya lalui. Pengalaman saya di sini, dan di luar negara. Tidak semua rasa apa yang saya rasa. Begitu juga sebaliknya. Jadi ada yang mungkin tidak setuju dengan apa yang saya katakan, saya juga faham. Kita dari latar belakang yang berbeza dan itu semua mempengaruhi cara minda kita berfikir dan menerima sesuatu. Tapi ingin saya jelaskan, saya cuma ingin berkongsi. Penerimaan dan penolakan itu semua terpulang.

Saya simpulkan, setiap apa yang kita lalui, ada disebalik nya tersorok satu pedoman. Buruk atau baik, tetap kita ambil. Ia mengajar kita menjadi manusia yang manusia. Pencapaian dunia itu tetap menjadi keutamaan, tapi tidak bermakna dunia itu segala-galanya. Gagalnya kita, tak bermakna tak boleh berjaya.

Ada banyak lagi perkara besar yang belum kita ketemu, sekiranya kita putus di tengah jalan, bukan kan itu sia-sia? SPM bukan segala-galanya. Degree, Master, PhD juga bukan segala-galanya. Segala-segalanya itu di akhir nanti. Bukan yang semasa. Henti nafas didada, terhenti jugalah perjalanan kita. Tersungkur di tengah, bangkitlah, ia masih belum parah.

Jalan dan langkah, toleh ke semua arah, biar sakit dan berdarah, asal tak lupa untuk terus gagah.

Out of cold, happiness is not something that we could find. We make one.

Tamat.

Untuk tatapan semua.

>

Disclaimer: Ada banyak perkara yang tidak saya ceritakan dalam siri SPM ini. Mungkin bagi saya ia perkara peribadi. Mungkin juga saya terlupa untuk menyelitkan cerita-cerita selanjutnya. Mungkin ada yang menjadi tanda tanya. Biarkan saja, biar ia menjadi suspens dunia. Ada yang jelas jawapannya, ada yang tidak. Terokai kehidupan, temukan jawapan. Dengan itu, saya pohon kemaafan, atas segala ketidakserasian pemikiran, dan juga kelewatan. Moga siri SPM membuka lensa, dijadikan sedikit pengisian perjalanan. Moga dipermudahkan. Untuk saya, anda dan semua. 





2 comments:

zahir said...

mantap dowh kerol ko nye rumusan ni..haha.. tebaikla

izhar kasim said...

Haha. Arigatou na.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...