Kebanyakan pelajar ditaja oleh JPA atau MARA. Saya ada beberapa kenalan yang menerima biasiswa nama-nama besar. Bercerita tentang topik sensitif topik keputusan SPM seperti suatu perkara yang taboo mungkin ketika itu. Keseganan juga merupakan faktor lain. Namun, setelah berkenalan, berkongsi cerita, makan bersama, saya memberanikan diri untuk bertanya.
SPM dulu dapat berapa?
Ayatnya ringkas sahaja. Namun beban menyuarakan pertanyaan tersebut seperti menelan hempedu, pahit. Saya menelan liur menunggu jawapan setiap kali saya bertanyakan soalan demikian. Terkejut, seperti biasa dan juga sudah agak adalah antara tiga reaksi saya terhadap jawapan yang diberikan. Maka, di sini saya ingin berkongsi mengapakah salah satu reaksi saya adalah terkejut.
Tidak semua penerima biasiswa nama-nama besar ini, (tidak terkecuali JPA dan MARA) mendapat straight A atau straight A1 (ketika itu kami masih menggunapakai sistem A1 A2 B3 - G9). Ada kurangnya satu, ada kurangnya dua, malah ada juga kurangnya tiga. Timbul satu persoalan, bukankah SPM menentukan segala-galanya?
Pada mulanya saya bersikap acuh tidak acuh, tidak ambil endah. Namun, atas rasa ingin tahu, saya cuba mencari jawapan. Mencari dimana hebatnya mereka. Apa yang dilihat pada mereka sehingga mereka menjadi antara insan-insan terpilih walaupun beribu-beribu pelajar bersaing untuk mendapat tempat sebagai penerima biasiswa. Saya pernah pergi ke temuduga biasiswa Sime Darby. Saya gagal. Temuduga Sime Darby mempunyai 3 hingga 5 peringkat mengikut tahun. Saringan demi saringan dilakukan hanya untuk memilih 50 terbaik seluruh Malaysia untuk bergelar 'Scholars Sime Darby'.
Maka ada diantara mereka-mereka ini merupakan salah seorang daripada 50 pelajar tersebut. Kuncinya ialah SPM. Tapi kunci nya bukan lah sahaja SPM. Terdapat faktor lain yang membezakan antara 50 pelajar ini dengan pelajar-pelajar lain yang mendapat straight A, kira-kira dalam 10,000 orang pada tahun 2008.
Setiap kali saya bersua muka dengan mereka, saya dapat merasakan aura yang berbeza jika dibandingkan apabila saya bersama dengan orang lain. Dari raut wajah, gaya bercakapan, dan bahasa badan, ada sedikit kelainan yang perlu diperhati secara teliti. Hari demi hari, dalam keadaan sempoi orang kata, saya cuba mengorek jawapan kepada persoalan tersebut.
Ia lebih kepada personaliti. Kebanyakan daripada mereka mempunyai hala tuju yang tetap dan mereka yakin terhadap pilihan mereka. Saya ingin jadi seorang doktor. Saya ingin jadi seorang accountant. Saya ingin jadi seorang engineer. Pabila saya masih keliru mengapa saya mengambil engineering, mereka-mereka ini telah pun melukis garis panduan hala tuju mereka. Mereka ada sebab musabab, mereka ada usaha, mereka ada visi dan juga misi. Dan mereka juga aktif dalam persatuan dan sukan. Menyertai bahas sekolah ke peringkat kebangsaan, mewakili negeri dalam sukan-sukan tertentu, memegang jawatan khas dalam peringkat sekolah, dan juga aktiviti lain.
Kepada yang lain, semua ini dilakukan mungkin kerana minat atau suka-suka. Apa yang lihat pada beberapa kenalan saya ini, mereka ambil semua perkara dengan sikap yang serius. Jika ingin sesuatu, jika ingin buat sesuatu, buat dengan serius. Tidak bermakna kita tidak perlu 'having fun' dengan perkara yang kita lakukan, tapi 'end target' nya ialah kita buat sehingga berjaya. Mereka ada 'clear vision'. Mereka ada 'confidence'.
Ada yang perangai gila-gila. Ada yang semacam tidak berminat dengan semua perkara, dan juga ada yang malas tahap dewa. Namun, disebalik perwatakan luaran ini terselindung cerita-cerita hebat. Akademik bukan lagi tunjang utama pembangunan diri, mereka membangun secara menyeluruh. Melibatkan diri dengan aktiviti-aktivti kolej dan sebagainya. Rohani, jasmani, spiritual dan akhlak.
Dipendekkan cerita, di hening senja, kita akan tanya satu soalan kepada diri sendiri,
Bila kita nak jadi macam itu?
Ketika di Taylor's College, SPM bukan lagi menjadi tiket berharga. Ia telah dihabis guna dan kini hanya tinggal segulung kenangan. Result ICPU kini menjadi taruhan. Usaha kami ketika berada di dalam ICPU menentukan sama ada destinasi seterusnya ialah Canada atau Malaysia. Tiada lagi option lain. Hitam atau putih, kami diberi pilihan. Kami dikehendaki untuk mencapai target 80% keseluruhan bagi pelajar JPA dan 85% bagi pelajar MARA untuk melayakkan kami sebuah tiket flight ke negara sejuk di utara dunia itu.
SPM kini ditolak tepi. ICPU menjadi ketakutan dan juga keutamaan.
Dalam proses anda bertukar dari satu fasa ke fasa yang lain, benda-benda keutamaan itu juga berubah dari semasa ke semasa. Pengalaman hidup, gagal dan lulus, tersungkur dan bangkit, darah dan luka, semuanya menjadi sebahagian lumrah kehidupan. Bukan lagi atas sehelai kertas keputusan peperiksaan. Dan di Canada, bermula lagi satu episod baru. Mana mungkin pengalaman kehidupan itu dapat dilupakan.
Di Canada, realiti menerjah.
bersambung...
4 comments:
cepat skit for spm#4
Maaf ye cik Anon. Disebabkan kekurangan masa, and satu post pun ambil masa dua hari untuk taip and revise, so x boleh nak cepat lagi dah. harap bersabar :)
pergghhhh bahasa dia. patut laa spm BM A1 ! hehe kalah cikgu bm. nice one ! ;) menanti spm #4.
adei..asal nk ada traffic feed nh..segan lk aihh
Post a Comment